Alhamdulillah. Lepas lebih setahun berlalu dari episod hitam dalam sejarah, rumah di kampung semakin hari menjadi kenyataan.
Masih lagi segar dalam ingatan bila ibuku merintih kesedihan tatkala mendengar berita buruk bahawa pembinaan rumah kampung tidak dapat dimulakan sebab penipuan dari syarikat yang pernah hangat diperkatakan sebab menjanjikan projek perumahan mampu milik atas tanah sendiri. Mula-mula janji manis ditanam di tepi bibir, dan ibuku berasa sungguh gembira sebab sudah lama mahu menggantikan rumah di kampung yang sudah usang dengan bungalow yang cantik dan cost effective.
Bila rumah kampung lama dah dirobohkan, puluhan ribu sudah hangus, jadi nak buat apa masa tu? Nak tuntut di mahkamah, sudah tentu akan jadi proses yang lama dan membebankan. Nak biarkan sahaja, raya akan datang bakal tidak menjadi seperti dahulu.
Detik itu, telah kujanji pada diri dan keluarga yang aku akan cuba sedaya upaya untuk menolong apa yang kumampu. Baru 5 bulan belajar tentang saham masa tu, dan semangatku berkobar-kobar untuk mencari dana untuk menampung projek pembinaan yang baru. Mujur kontraktor asal bersetuju untuk menyiapkan rumah dengan harga sama seperti sebelumnya kerana mereka pun tidak menyangka syarikat tersebut akan berlaku sedemikian. Dalam hal ini, kontraktor tidak bersalah sebab mereka hanyalah third party dalam cerita ini.
Sampai sekarang wang masih tidak dikembalikan. Tapi rumah di kampung hampir siap sepenuhnya hasil rezeki dari bursa. Sesungguhnya aku hanya mengikut perancanganNya dan tidak pernah ku menyalahkan sesiapa. Rezeki dariNya tidak pernah salah alamat. Tiap kali meneman ibu untuk melawat rumah di kampung, senyumannya adalah cukup bermakna buatku, sebab sekurang-kurangnya aku dapat bahagiakan ibuku. Syukur pada yang Maha Esa. Terima kasih pada semua yang mencurahkan segala ilmu dan menolongku untuk sampai ke tahap ini sehingga menjadi seorang remisier.
Kini, aku dalam misi untuk mendapatkan total financial freedom untuk kedua ibu bapaku, sebab aku kasihankan mereka yang masih lagi bekerja untuk menampung adik aku yang masih belajar. Ya Allah permudahkanlah perjalananku.